Bismillah.
Hati kecilku terdetik.
“Apa sebenarnya makna bahagia?”
Ada manusia, hidupnya penuh kaya raya. Rumahnya besar..
Segala yang diingini dapat dicapai. Namun, hati masih bergelora resah. Memikirkan
bertimbunnya masalah. Ada juga manusia yang hidupnya dalam susah. Hanya berbumbungkan
atap nipah. Tapi mampu tersenyum pada nikmat sederhana dari Tuhan.
Segala perasaan pemberian Tuhan itu, penuh dengan kesenian. Bahagia
itu sukar untuk ditafsirkan. Hanya yang melalui dapat merasa. Ibarat seperti kita
makan sebiji limau. Jika kita ditanya oleh seorang kawan,
“Bagaimana rasa sebiji limau itu?”
Barangkali kita akan menjawab,
“Rasanya masam.. Boleh berkerut dahi kita kalau tidak tahan
dengan masamnya”.
Bukahkah dengan rasa pahit juga mampu mengerutkan dahi?
Bila diselami hati kecil kita, percayalah. Bahagia itu ada
pada sifat redha. Apabila segala yang Allah bentangkan pada kita, kita terima
seadanya, maka hati kita akan lapang. Tiada lagi dengki dalam perasaan. Seperti
mana kisah persaudaraan Salman Al-Farisi dan Abu Darda’.
Seperti manusia yang lain, Salman Al-Farisi juga punya perasaan
cinta. Suatu ketika, beliau jatuh hati pada seorang gadis ansar. Maka beliau
menyampaikan gelodak dijiwa kepada sahabat ansar terdekat beliau, iaitu Abu
Darda’.
“Subhanallah.. Alhamdulillah..” Girang Abu Darda’
mendengarnya. Keduanya tersenyum bahagia.
Setelah segala persiapan dirasakan cukup, beriringanlah
kedua sahabat itu menuju sebuah rumah di penjuru kota Madinah. Rumah gadis yang
ingin dikhitbahnya.
“Saya Abu Darda’ dan ini adalah saudara saya, Salman
Al-Farisi seorang pemuda Parsi. Allah telah memuliakannya dengan Islam. Dan dia
juga telah memuliakan Islam dengan jihadnya. Saya datang ke sini untuk mewakili
saudara saya ini melamar anak gadis tuan..” Fasih dan sopan Abu Darda’
memulakan bicara.
“Satu kehormatan bagi kami menerima anda berdua sahabat Rasulullah
s.a.w. Dan satu kehormatan juga bagi kami bermenantukan seorang sahabat Rasulullah
yang utama. Tapi, jawapan untuk pertanyaan ini saya serahkan sepenuhnya kepada
puteri kami..”
Kemudian, tunggulah Salman dan Abu darda’ dengan perasaan
yang berdebar-debar. Dan keluarlah si ibu dari bilik setelah berbincang dengan
puterinya.
“Maafkan kami atas terus terang ini.. Dengan mengharap redha
Allah, kami mohon maaf bahawa puteri kami menolak lamaran Salman Al-farisi..
Seandainya Abu Darda memiliki urusan yang sama, puteri kami telah menyediakan
jawapan ya..”
Tak disangka bukan? Gadis yang dicintainya lebih tertarik kepada Abu Darda' yang mewakili lamarannya. Bayangkan bagaimana perasaan Salman
antara cinta dan nilai persaudaraan berebut tempat didalam hatinya. Tapi manusia
yang percaya pada semua aturan Allah, dia akan bahagia. Kerana apa yang Allah
aturkan, tentu yang terbaik buat kita. Salman percaya, bahawa dia tidak punya
hak apapun ke atas orang yang dicintainya. Itulah sifat manusia bertaqwa.
Boleh baying apa reaksi Salman seterusnya? Sungguh tinggi
peribadi beliau. Kata Salman Al-Farisi,
“Semua mahar dan nafkah yang aku siapkan ini, aku serahkan
kepada kamu wahai Abu darda’. Dan aku akan menjadi saksi perkahwinan kalian.”
Kata Salman Al-Farisi.
Lihat. Betapa indahnya kebesaran hati Salman. Mereka
dipersaudarakan oleh Rasulullah. Bukanlah seorang saudara jika tidak turut
gembira atas kebahagiaan saudaranya. Dan bukanlah juga dinamakan saudara jika
merasa dengki atas kebahagiaan dan nikmat saudaranya. Indah hasil tarbiyyah
Rasulullah kepada para sahabatnya.
Benar. Bahagia itu bermacam cara. Tapi setepatnya, bahagia itu ada pada sifat redha.
Wallahu’alam..