Sunday, September 22, 2013

MUSAFIR EMAS

Bismillah.

“Jom kita ke memali nak..”

Ini ajakan saya dua tahun yang lalu kepada beberapa orang teman.

“Jom, jom.. Saya ada kakak di Baling. Kalau kita tak sempat untuk pulang ke rumah, boleh kita menumpang tidur disana”. Kata seorang teman.

Alhamdulillah, Tuhan perkenankan kami ke sana pada bulan jun yang lalu. Mujurlah teman-teman lain pun turut mempunyai hajat yang sama. Lama saya memendam hajat ini. Maka dengan izin Tuhan, bergeraklah kami ke daerah berdarah itu. Perjalanannya tenang. Tidak sesesak di ibu kota. Pohon-pohon hijau masih segar meredupkan suasana. Sesekali hembusan angin dingin menyapa. Ditambah lagi dengan indahnya panorama sawah padi yang luas saujana. Cantik sungguh negeri tanah tumpah darahku ini. :)

Jika dulu, setiap kali pulang ke kampung di Kuala Nerang, Kedah, pastinya kami sekeluarga akan melalui daerah memali ini. Pernah satu ketika, kami singgah sebentar di sebuah masjid di kampung memali untuk mendirikan solat. Abah berbual-bual bersama emak tentang mereka yang syahid disini. Masa itu aku sendiri masih di alam hingusan lagi. Bila usia menginjak dewasa, baru aku tahu. Oh, ini rupanya yang abah pernah ceritakan suatu ketika dulu.

Tidak pasti dimana rumah Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya, maka kami mengambil keputusan untuk ke madarasah yang diasaskan oleh asy-syahid dulu. Madrasahnya cantik berwarna hijau. Tidak terlalu besar, cuma sederhana saja. Tapi yang bagusnya disini, suasana islamiah itu masih ada. Seronok melihat kanak-kanak disana. Pakaian mereka yang menutup aurat, akhlak mereka yang sopan, dan sentiasa manis memberi kuntuman senyuman. Inilah pendidikan yang mahu diterjemahkan kepada masyarakat oleh Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya. Teringat aku pada nostalgia 16 tahun lalu. Aku juga pernah seperti mereka. Berbaju kurung dengan kain sarung berwarna hijau serta tudung putih dicelup nila.

Kemudian, kami berjumpa dengan seorang ustazah yang mengajar disana. Kami katakan bahawa kami mahu ziarah isteri Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya, tapi tidak tahu dimana rumahnya. Ustazah itu membalas,

“Yaka.. Tak apa, mai ustazah tunjuk. Rumahnya dekat saja. Tepi sikit dari sini. Tepi jalan ja..”

Lebih kurang lima minit begitu, kami tiba.


MAHLIGAI MEREKA.

Pagarnya tidak berkunci. Nak memberi salam, pastinya tidak akan didengar penghuni didalam kerana jarak rumah dan pagar jauh beberapa kaki. Ditambah pula bunyi deruan kereta ditepi jalan. Maka kami masuk ke perkarangan rumah mereka. Sejurus itu memberi salam. Di sudut tepi perkarangan rumah mereka, masih utuh sebuah pondok sejarah yang tertulis, “Rumah Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Bin Mahmud (Libya). Puan Solehah, isteri asy-syahid menyambut kami dengan ramah dan mesra. Memang kebiasaannya orang Kedah bersifat begini. :)

Sebelum masuk ke dalam rumah, kami melihat pondok sejarah yang diluar tadi. Makcik Solehah menunjukkan kesan peluru yang masih ada sehingga ke hari ini di pondok itu. Pondok tempat mereka menyembunyikan diri. Dan diperkarangan rumah asy-syahid inilah terdamparnya jasad 14 insan yang ditembak oleh pihak polis.

Semangat untuk tahu lebih lagi sejarah ini, kami menyambung perbualan di dalam rumah pula. Ada beberapa gambar-gambar asy-syahid yang di letakkan didinding rumah. Juga gambar berserta bingkai yang di tulis “Hari Memperingati Memali”. Makcik mengeluarkan beberapa album beliau bersama arwah suami tercinta untuk ditunjukkan kepada kami. Kami menyelak lembaran album satu persatu. Banyak yang beliau kongsi dan cerita. Ketika suaminya ditembak dan dalam keadaan untuk menghembuskan nafasnya yang terkahir, beliau pula ditangkap untuk dimasukkan di dalam penjara.

Saat jasad mulia suaminya mahu dikebumikan, beliau tak mampu untuk turut serta kerana masih di dalam gerigi besi. Sekejam itu rupanya polis di negara kita. Dan aku bertanya kepada makcik Solehah,

“Macam mana perasaan makcik semasa tu ya? Bagaimana pula dengan anak-anak?”

“Semuanya dengan izin Tuhan.. Allah yang bagi kekuatan.. Hati makcik mampu bertahan, geram tetap ada buat mereka. Anak- anak semua dirumah. Saudara mara dan teman rapat yang tolong jagakan sepanjang makcik disana. Dan sewaktu di dalam penjara, makcik sempat lagi mengait (menjahit). ” Katanya sambil tergelak kecil.

Allahu. Dan ada soalan lagi,

“Ustaz Ibrahim Libya macam mana orangnya makcik? Macam mana dia mentarbiyyah makcik dan keluarga?” Memang ini yang aku ingin tahu, memandangkan beliaulah tokoh idola aku semenjak di alam matrikulasi lagi.

“Ustaz tu orangnya tegas.. Dia rajin bawa makcik ikut serta dalam ceramahnya. Pernah dalam satu ceramah tu, makcik dengar beberapa suara. Kata mereka, sedap sungguh ustaz ni ceramah.. Rasa macam nak buat menantu saja bagi kat anak perempuan aku. Sedangkan makcik yang dengar ni disebelah mereka. Tergelak makcik ketika tu. Usai majlis, dan bersalaman sesama jemaah yang hadir, baru mereka tahu yang makcik ni isteri ustaz.. Dan ustaz dah berkahwin rupanya..”

Ketawa kami mendengar. Makcik turut ketawa kecil ketika bercerita.


BUKAN USTAZ DUIT.

Tambahnya lagi,

“Pernah satu hari tu, ustaz akan bagi satu ceramah. Dimana makcik lupa.. Lepas beberapa minit berlalu, ustaz pulang semula ke rumah. Dan makcik bertanya, kenapa balik semula?”

Kata ustaz,

“Tadi semasa abang dalam kereta, terlintas dihati bahawa ada yang memberi upah selepas berceramah.. Bimbang takut Allah tidak redha.”

Ustaz mengambil sesuatu di dalam rumah dan kemudian terus ke tempat pengajian beliau. Apabila diselidiki kenapa beliau boleh berpatah balik rupanya dia tertinggal beg duit. Jadi beliau patah balik ke rumah. Kenapa sampai begitu sekali? Sebabnya beliau mahu memperbetulkan niat, takut terpesong bila tidak ada ditangan beliau maka beliau sudah tentu mengharap kepada sampul duit sebagai imbuhan mengajar.

 “Ya Allah.. Mulianya peribadi. Makcik, macam mana ya nak cari suami yang sebaik ini?”

Kata makcik,

“Susah.. Susah nak jumpa..” Kata makcik lalu tersenyum manis.

Dalam hati saya terdetik. Asy-syahid Ustaz Ibrahim Libya pastinya terlalu istimewa buat makcik. Dan kerana itulah makcik tidak berpengganti sehingga ke hari ini. Membesarkan anak-anak dengan tangannya sendiri. Terpaksa menjual tanah untuk membiayai pengajian anak-anak. Dan hasilnya, anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna.

Masih teringat kata-kata ustaz yang pernah aku baca. Tapi tidak ingat buku apa. "Ramai yang bersemangat tetapi tidak ramai yang istiqamah. Ramai yang istiqamah tetapi tidak ramai yang ikhlas."

Ya Tuhan, kurniakan kami sifat ikhlas yang berpanjangan. Juga istiqamah yang tidak berpenghujung. Semoga redhaMu dalam genggaman..

Beberapa gambar yang dapat aku kongsikan.. :)



Madrasah yang diasaskan oleh Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya.


Teratak mahligai mereka. :)


Pondok sejarah yang diceritakan tadi.


Kesan peluru masih ada sehingga hari ini.


Tinggal sejarah.


Penghargaan sempena memperingati Memali.



Makcik Solehah, isteri Asy-syahid Ustaz Ibrahim. Ketika ini kami sedang menyelak lembaran album kisah mereka.. :)


Peluru gas yang disimpan oleh makcik. Peluru inilah yang membuatkan anak sulungnya terjelopok pengsan.


Nama-nama para syuhada' Memali. Semoga Allah memberi syurga buat kalian..


Inilah keluarga bahagia mereka. :)


Antara gambar yang tergantung di dinding rumah mereka..

Wallahu'alam..

0 comments:

Post a Comment