Tuesday, August 27, 2013

HATI UNTUK MENILAI

Bismillah.

“Kau tahu, setiap hari kita akan berhadapan dengan pelbagai pilihan”. Huda memulakan perbualan antara kami bertiga.

“Ya betul. Hari-hari kan? Sehinggakan perkara yang kecil pun boleh dijadikan pilihan. Mahu makan apa, pakai baju apa, semuanya pilihan..” Balas saya seraya menghirup teh o ais limau di atas meja.

Dan saat ini. Aku mula merenung kembali apa yang pernah kami tuturkan. Nyata. Hidup ini penuh dengan antara dua, iaitu pilihan. Saat kita perlu memilih, gunalah pertimbangan akal kurniaan Tuhan. Inilah yang dinamakan penilaian.

Lihatlah. Tidak dijadikan keadaan ini suatu yang sia-sia. Bukankah saat kita perlu memilih dan menilai, saat itu juga membuatkan kita menjadi seorang yang berfikir? Inilah yang dikatakan golongan ulul albab..

Saat Nabi Muhammad s.a.w bangun disepertiga malam, nabi akan mendongak kearah langit malam yang pekat. Dan apa yang nabi tuturkan?

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati keringnya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh terdapat tanda-tanda keesaan dan kebesaran Allah bagi kaum yang memikirkan.”

(Surah Al-Baqarah : 164)

Ya, manusia punya kelemahan. Emosi kita juga mungkin sukar untuk dikawal. Tapi, penilaian kita terhadap sesuatu perkara mestilah adil.. Mana mungkin jawapan yang terbaik akan hadir atas dasar perasaan marah yang berpanjangan? Nilailah dengan hati yang bersih. Kata orang,


“Tak guna ada mata kalau tak dapat melihat. Tak guna ada hati andai tak tahu menilai.”

Wallahu'alam...

0 comments:

Post a Comment