Saturday, September 28, 2013

VITAMIN IMAN

Bismillah.

“Saya tak suka seorang lelaki yang percakapannya dengan nada yang tinggi. Bunyinya kasar..”

Kata seorang teman rapatku sambil ketawa kecil ketika kami sama-sama menjamah juadah tengah hari tadi di kafe.

Aku tersenyum sambil mengiakan. Ya. Sungguh. Tidak ada mana-mana perempuan yang mendambakan seorang lelaki yang kasar peribahasanya. Dan aku rasakan, lelaki juga begitu. Lalu aku katakan,

“Yalah kan.. Cuba lihat pada Ustaz Latif.. Lembut dan tenang sahaja perwatakan dan bahasanya.. Bukan sahaja itu, semua perkara sentiasa dipandangnya dengan cara yang positif..”

Pasti keluarganya juga lembut dan sopan perwatakannya. Teringin sekali untuk melihat isteri ustaz. Pasti sepertinya juga. Kerana kata orang, terdidiknya si isteri adalah daripada suaminya.

Kami mengimbas kembali ceramah Ustaz di dalam program Tanyalah Asatizah pada hari yang lepas. Nama Ustaz Latif tidak asing lagi bagi kami pelajar jurusan Ilmu Wahyu dan Warisan. Memang perwatakannya sungguh menenangkan. Ada qudwah yang diterjemahkan kepada kami untuk dijadikan ikutan.

VITAMIN IMAN.

Jika jasad yang sakit, kita tahu dimana untuk mencari ubatnya. Dalam lemah, kita ke klinik atau hospital berhampiran untuk merawat jasad yang kelesuan. Tapi, andai rohani kita yang sakit? Harus bagaimana? Ketahuilah, antara punca masalah fizikal, rohani, psikologi dan segalanya pastinya berkaitan dengan iman. Kerana apa seseorang itu menghidap penyakit kencing manis? Kerana dia sendiri tidak mampu untuk melawan nafsunya daripada mengambil minuman yang berlebihan gula. Secara logiknya begitulah. Dalam tidak sedar, benarlah.

“Kita menggali kubur sendiri dengan gigi.”

Sempat ustaz kongsikan bersama kami, untuk kuatkan iman yang tandus, kita kena kenal empat ilmu ini.

- Allah.
- Hakikat diri.
-Hakikat dunia.
- Hakikat akhirat.

Kita semua mengerti, bahawa dalam melayari bahtera kehidupan, tidak selamanya Allah kurniakan kebahagiaan yang berpanjangan. Ada masa Allah selitkan duka dan ujian. Sedarlah kita, dunia ini tempatnya ujian. Bukankah Allah berfirman,

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?.”

(Surah Al-Ankabuut : 2).

Tapi, manusia yang punya iman, dia akan mengatakan bahawa semua masalah ada jalan penyelesaiannya. Bila mana dia tahu, yang Allah itu sentiasa bersama dia. Berkali-kali Allah memujuk kita,

“Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”

(Surah Qaaf : 16).

“Dan Kami lebih dekat dengannya daripada kamu.”

(Surah Al-Waqi’ah : 85).

Allah juga ada berfirman di dalam sebuah hadis qudsi,

“Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari.”

(Sahih Muslim).

Kita mengadu kepada manusia, manusia hanya mampu bersimpati. Namun, jika kita mengadu dan ceritakan semuanya kepada Allah yang Esa, pasti akan ditunjukkan jalan keluar. Yakinlah. Allah tidak akan membiarkan hambaNya larut dalam kesedihan.. Setiap sudut yang Allah anugerahkan buat kita, terimalah dengan jiwa yang bahagia. Tapi jangan dilupa, tugas kita adalah usaha..

Ustaz menceritakan suatu peristiwa.

Satu hari beliau memandu kereta dalam keadaan tingkap yang terbuka. Tiba-tiba terbau suatu bau yang kurang enak dek kerana sebuah lori sampah berada dihadapan keretanya. Lalu beliau menaikkan tingkap disisi kanan supaya bau kurang enak yang dihidu tadi tidak dirasakan lagi. Sambil meneruskan pemanduan beliau, dua orang lelaki yang berada di sudut belakang lori sampah berjenaka dan ketawa bahagia sesama mereka. Kata ustaz,

“Masha Allah.. Mereka berkerja biasa.. Menghidu bau yang tidak enak sepanjang seharian.. Namun boleh bahagia dan tertawa.. Sedangkan aku yang punya rumah, kereta, keluarga.. Kenapa tidak mampu seperti mereka..?”

UNTA DAN TUAN.

Hakikat diri, kita ini punya roh dan jasad. Jasad ini umpama unta, dan roh itu ibarat tuan. Sebagai seorang tuan kepada unta, semestinya kita menjaga unta kita sebaik-baiknya bukan? Begitulah sinonimnya bagi roh dan jasad. Kita yang seharusnya mengawal kehendak jasad (unta) supaya tidak tertewas di dalam negeri ujian ini.

Singkat ustaz kongsikan, namun memberi kesan yang mendalam buat hatiku yang kering ini. Lama tidak disimbah dengan kata-kata nasihat yang dapat menyubur iman. Dan hari ini aku punya vitamin, iaitu Vitamin Iman!


Wallahu’alam..

Sunday, September 22, 2013

MUSAFIR EMAS

Bismillah.

“Jom kita ke memali nak..”

Ini ajakan saya dua tahun yang lalu kepada beberapa orang teman.

“Jom, jom.. Saya ada kakak di Baling. Kalau kita tak sempat untuk pulang ke rumah, boleh kita menumpang tidur disana”. Kata seorang teman.

Alhamdulillah, Tuhan perkenankan kami ke sana pada bulan jun yang lalu. Mujurlah teman-teman lain pun turut mempunyai hajat yang sama. Lama saya memendam hajat ini. Maka dengan izin Tuhan, bergeraklah kami ke daerah berdarah itu. Perjalanannya tenang. Tidak sesesak di ibu kota. Pohon-pohon hijau masih segar meredupkan suasana. Sesekali hembusan angin dingin menyapa. Ditambah lagi dengan indahnya panorama sawah padi yang luas saujana. Cantik sungguh negeri tanah tumpah darahku ini. :)

Jika dulu, setiap kali pulang ke kampung di Kuala Nerang, Kedah, pastinya kami sekeluarga akan melalui daerah memali ini. Pernah satu ketika, kami singgah sebentar di sebuah masjid di kampung memali untuk mendirikan solat. Abah berbual-bual bersama emak tentang mereka yang syahid disini. Masa itu aku sendiri masih di alam hingusan lagi. Bila usia menginjak dewasa, baru aku tahu. Oh, ini rupanya yang abah pernah ceritakan suatu ketika dulu.

Tidak pasti dimana rumah Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya, maka kami mengambil keputusan untuk ke madarasah yang diasaskan oleh asy-syahid dulu. Madrasahnya cantik berwarna hijau. Tidak terlalu besar, cuma sederhana saja. Tapi yang bagusnya disini, suasana islamiah itu masih ada. Seronok melihat kanak-kanak disana. Pakaian mereka yang menutup aurat, akhlak mereka yang sopan, dan sentiasa manis memberi kuntuman senyuman. Inilah pendidikan yang mahu diterjemahkan kepada masyarakat oleh Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya. Teringat aku pada nostalgia 16 tahun lalu. Aku juga pernah seperti mereka. Berbaju kurung dengan kain sarung berwarna hijau serta tudung putih dicelup nila.

Kemudian, kami berjumpa dengan seorang ustazah yang mengajar disana. Kami katakan bahawa kami mahu ziarah isteri Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya, tapi tidak tahu dimana rumahnya. Ustazah itu membalas,

“Yaka.. Tak apa, mai ustazah tunjuk. Rumahnya dekat saja. Tepi sikit dari sini. Tepi jalan ja..”

Lebih kurang lima minit begitu, kami tiba.


MAHLIGAI MEREKA.

Pagarnya tidak berkunci. Nak memberi salam, pastinya tidak akan didengar penghuni didalam kerana jarak rumah dan pagar jauh beberapa kaki. Ditambah pula bunyi deruan kereta ditepi jalan. Maka kami masuk ke perkarangan rumah mereka. Sejurus itu memberi salam. Di sudut tepi perkarangan rumah mereka, masih utuh sebuah pondok sejarah yang tertulis, “Rumah Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Bin Mahmud (Libya). Puan Solehah, isteri asy-syahid menyambut kami dengan ramah dan mesra. Memang kebiasaannya orang Kedah bersifat begini. :)

Sebelum masuk ke dalam rumah, kami melihat pondok sejarah yang diluar tadi. Makcik Solehah menunjukkan kesan peluru yang masih ada sehingga ke hari ini di pondok itu. Pondok tempat mereka menyembunyikan diri. Dan diperkarangan rumah asy-syahid inilah terdamparnya jasad 14 insan yang ditembak oleh pihak polis.

Semangat untuk tahu lebih lagi sejarah ini, kami menyambung perbualan di dalam rumah pula. Ada beberapa gambar-gambar asy-syahid yang di letakkan didinding rumah. Juga gambar berserta bingkai yang di tulis “Hari Memperingati Memali”. Makcik mengeluarkan beberapa album beliau bersama arwah suami tercinta untuk ditunjukkan kepada kami. Kami menyelak lembaran album satu persatu. Banyak yang beliau kongsi dan cerita. Ketika suaminya ditembak dan dalam keadaan untuk menghembuskan nafasnya yang terkahir, beliau pula ditangkap untuk dimasukkan di dalam penjara.

Saat jasad mulia suaminya mahu dikebumikan, beliau tak mampu untuk turut serta kerana masih di dalam gerigi besi. Sekejam itu rupanya polis di negara kita. Dan aku bertanya kepada makcik Solehah,

“Macam mana perasaan makcik semasa tu ya? Bagaimana pula dengan anak-anak?”

“Semuanya dengan izin Tuhan.. Allah yang bagi kekuatan.. Hati makcik mampu bertahan, geram tetap ada buat mereka. Anak- anak semua dirumah. Saudara mara dan teman rapat yang tolong jagakan sepanjang makcik disana. Dan sewaktu di dalam penjara, makcik sempat lagi mengait (menjahit). ” Katanya sambil tergelak kecil.

Allahu. Dan ada soalan lagi,

“Ustaz Ibrahim Libya macam mana orangnya makcik? Macam mana dia mentarbiyyah makcik dan keluarga?” Memang ini yang aku ingin tahu, memandangkan beliaulah tokoh idola aku semenjak di alam matrikulasi lagi.

“Ustaz tu orangnya tegas.. Dia rajin bawa makcik ikut serta dalam ceramahnya. Pernah dalam satu ceramah tu, makcik dengar beberapa suara. Kata mereka, sedap sungguh ustaz ni ceramah.. Rasa macam nak buat menantu saja bagi kat anak perempuan aku. Sedangkan makcik yang dengar ni disebelah mereka. Tergelak makcik ketika tu. Usai majlis, dan bersalaman sesama jemaah yang hadir, baru mereka tahu yang makcik ni isteri ustaz.. Dan ustaz dah berkahwin rupanya..”

Ketawa kami mendengar. Makcik turut ketawa kecil ketika bercerita.


BUKAN USTAZ DUIT.

Tambahnya lagi,

“Pernah satu hari tu, ustaz akan bagi satu ceramah. Dimana makcik lupa.. Lepas beberapa minit berlalu, ustaz pulang semula ke rumah. Dan makcik bertanya, kenapa balik semula?”

Kata ustaz,

“Tadi semasa abang dalam kereta, terlintas dihati bahawa ada yang memberi upah selepas berceramah.. Bimbang takut Allah tidak redha.”

Ustaz mengambil sesuatu di dalam rumah dan kemudian terus ke tempat pengajian beliau. Apabila diselidiki kenapa beliau boleh berpatah balik rupanya dia tertinggal beg duit. Jadi beliau patah balik ke rumah. Kenapa sampai begitu sekali? Sebabnya beliau mahu memperbetulkan niat, takut terpesong bila tidak ada ditangan beliau maka beliau sudah tentu mengharap kepada sampul duit sebagai imbuhan mengajar.

 “Ya Allah.. Mulianya peribadi. Makcik, macam mana ya nak cari suami yang sebaik ini?”

Kata makcik,

“Susah.. Susah nak jumpa..” Kata makcik lalu tersenyum manis.

Dalam hati saya terdetik. Asy-syahid Ustaz Ibrahim Libya pastinya terlalu istimewa buat makcik. Dan kerana itulah makcik tidak berpengganti sehingga ke hari ini. Membesarkan anak-anak dengan tangannya sendiri. Terpaksa menjual tanah untuk membiayai pengajian anak-anak. Dan hasilnya, anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna.

Masih teringat kata-kata ustaz yang pernah aku baca. Tapi tidak ingat buku apa. "Ramai yang bersemangat tetapi tidak ramai yang istiqamah. Ramai yang istiqamah tetapi tidak ramai yang ikhlas."

Ya Tuhan, kurniakan kami sifat ikhlas yang berpanjangan. Juga istiqamah yang tidak berpenghujung. Semoga redhaMu dalam genggaman..

Beberapa gambar yang dapat aku kongsikan.. :)



Madrasah yang diasaskan oleh Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya.


Teratak mahligai mereka. :)


Pondok sejarah yang diceritakan tadi.


Kesan peluru masih ada sehingga hari ini.


Tinggal sejarah.


Penghargaan sempena memperingati Memali.



Makcik Solehah, isteri Asy-syahid Ustaz Ibrahim. Ketika ini kami sedang menyelak lembaran album kisah mereka.. :)


Peluru gas yang disimpan oleh makcik. Peluru inilah yang membuatkan anak sulungnya terjelopok pengsan.


Nama-nama para syuhada' Memali. Semoga Allah memberi syurga buat kalian..


Inilah keluarga bahagia mereka. :)


Antara gambar yang tergantung di dinding rumah mereka..

Wallahu'alam..

Saturday, September 21, 2013

SYAHID ITU PILIHAN TUHAN

Bismillah.

SEBUAH NIKMAT.

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari nikmatKu, maka sesungguhnya azabku sangat pedih.”

(Surah Ibrahim : 7)

Saban hari kita bangun dan terdengar kicauan burung di awal pagi. Sungguh, awal mereka bertasbih memuji Tuhan. Antara kita dan burung, bukan siapa yang lebih hebat untuk terbang, dan bukan juga urusan tentang siapa yang lebih pintar, dan juga bukan siapa yang lebih sempurna. Tapi, siapa yang lebih bersyukur atas nikmat yang diberikan Sang Pencipta kepada dua makhluk ini. Bersyukurlah, Allah menganugerahkan kita nikmat yang tidak terhingga. Nikmat keselesaan dan kemewahan serta sebagainya.

Dalam kita bersenang-lenang dengan dunia sendiri. Ingatkah kita pada saudara seagama yang sengsara? Mereka yang bertarung nyawa menentang syaitan dunia. Ya. Dunia semakin sakit dan berdarah. Tapi ramai diantara kita hanya memandang dengan sebelah mata. Di saat saudara-saudara kita di Mesir, Palestin dan Syria bangga dengan jihad qital yang mereka lalui. Malulah kita yang bangga dengan jihad melawan hawa nafsu. Apakah sumbangan kita sesama saudara? Kirimlah doa dikala jasad tak mampu untuk turut serta.

"Ya. Cukup. Jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka datang menyerang kamu dengan seketika itu juga, nescaya Allah menolong kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda. Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala bantuan itu melainkan sebagai khabar gembira bagi kemenanganmu, dan agar tenteram hatimu kerananya. Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah yang Mahaperkasa lagi Mahabijaksana."

(Surah Ali Imran: Ayat 125-126)


UMMU NIDHAL.

Alhamdulillah. Pagi tadi aku berkesempatan untuk menghadiri sebuah ceramah berkaitan Syria dan Palestin di Mini Audi UIAM. Ada perkara yang membuatkan aku berfikir dalam. Tentang seseorang. Kehidupannya bermula dibumi Gaza. Melihat raut wajahnya sahaja kita mampu mentafsirkan bahawa dia seorang manusia yang punya tinggi iman. Dan pernah aku bertanya di dalam hati, akan adakah pada akhir zaman ini seorang wanita sehebat Khaulah Al-azwar? Sekental Nusaibah binti Ka’ab? Setabah Ummu Saad bin Muaz? Jawapannya, ya. Masih ada.. Beliaulah Maryam Muhammad Yusuf Farhaat yang dikenali sebagai Ummu Nidhal.

Apa istimewanya dia? Ummu Nidhal telah menghantar tiga orang anak lelakinya ke medan perang dan gembira atas kesyahidan mereka, bahkan menangis bila memikirkan tiba masanya nanti sudah tiada lagi anak untuk dihantar ke medan perang. Dia tidak peduli apakah dia tidak akan bertemu lagi dengan anak-anaknya buat selama-lamanya. Malah rela menanggung kepiluan hati seorang ibu demi mempertahankan bumi yang diberkati Allah Taala dari terus dijajah oleh Rejim Zionis. Bertitik tolak dari hal itulah beliau digelar sebagai Khansa’ Palestin.

Inilah Ummu Nidhal.. Nusaibah alaf 21..


SYAHID ITU PILIHAN TUHAN.

Cuba kita bayangkan, seandainya perkara yang sama berlaku di Malaysia. Apakah kita bersedia melaluinya? Barangkali kita tidak merasakan sakitnya apa-apa, kerana bukan kita yang mengangkat senjata. Tapi setidak-tidaknya, sedarkanlah diri bahawa ada banyak jiwa luka disana. Bukankah Nabi pernah bersabda,

"Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Muslim)

Andai kita pakar dalam bidang media, sebarkanlah kebenaran dari situ. Jika kita punya banyak harta, sumbangkanlah buat mereka yang perlu. Dan kalau kita tahu untuk menulis, tulislah supaya banyak jiwa makin tahu. Sumbanglah apa sahaja, mengikut kemampuan diri kita masing-masing. Kerana yang sekecil-kecil perkara pastinya ada nilai disisi Tuhan kita.

Suatu ketika, seorang mujahidin berkata kepada beberapa krew misi di Syria.

“Jika kamu mahu syahid, kamu jalan di laluan itu.. Insya Allah, kamu akan syahid.”

Jeda. Kelu dan kaget mereka yang mendengar. Tak mampu untuk berkata apa-apa. Sebut sahaja tentang mati, mampu menggetarkan jiwa.

Dan sambung mujahidin tadi,

“Dalam hati kamu masih ada wahan..”

Apa itu wahan? Wahan itu cintakan dunia dan takut akan mati.. Begitulah, syahid itu bukan sebarangan. Tapi syahid itu pilihan Tuhan.. Sama-sama kita doakan saudara kita di Malaysia, Mesir, Palestin, Syria, Rohingya dan seluruh pelosok dunia.

Sabda Nabi s.a.w,


Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan ummat Islam, maka bukanlah mereka dari kalangannya.

Wallahu'alam...