Tuesday, August 27, 2013

REDHA ITU BAHAGIA

Bismillah.

Hati kecilku terdetik.

“Apa sebenarnya makna bahagia?”

Ada manusia, hidupnya penuh kaya raya. Rumahnya besar.. Segala yang diingini dapat dicapai. Namun, hati masih bergelora resah. Memikirkan bertimbunnya masalah. Ada juga manusia yang hidupnya dalam susah. Hanya berbumbungkan atap nipah. Tapi mampu tersenyum pada nikmat sederhana dari Tuhan.

Segala perasaan pemberian Tuhan itu, penuh dengan kesenian. Bahagia itu sukar untuk ditafsirkan. Hanya yang melalui dapat merasa. Ibarat seperti kita makan sebiji limau. Jika kita ditanya oleh seorang kawan,

“Bagaimana rasa sebiji limau itu?”

Barangkali kita akan menjawab,

“Rasanya masam.. Boleh berkerut dahi kita kalau tidak tahan dengan masamnya”.

Bukahkah dengan rasa pahit juga mampu mengerutkan dahi?

Bila diselami hati kecil kita, percayalah. Bahagia itu ada pada sifat redha. Apabila segala yang Allah bentangkan pada kita, kita terima seadanya, maka hati kita akan lapang. Tiada lagi dengki dalam perasaan. Seperti mana kisah persaudaraan Salman Al-Farisi dan Abu Darda’.

Seperti manusia yang lain, Salman Al-Farisi juga punya perasaan cinta. Suatu ketika, beliau jatuh hati pada seorang gadis ansar. Maka beliau menyampaikan gelodak dijiwa kepada sahabat ansar terdekat beliau, iaitu Abu Darda’.

“Subhanallah.. Alhamdulillah..” Girang Abu Darda’ mendengarnya. Keduanya tersenyum bahagia.

Setelah segala persiapan dirasakan cukup, beriringanlah kedua sahabat itu menuju sebuah rumah di penjuru kota Madinah. Rumah gadis yang ingin dikhitbahnya.

“Saya Abu Darda’ dan ini adalah saudara saya, Salman Al-Farisi seorang pemuda Parsi. Allah telah memuliakannya dengan Islam. Dan dia juga telah memuliakan Islam dengan jihadnya. Saya datang ke sini untuk mewakili saudara saya ini melamar anak gadis tuan..” Fasih dan sopan Abu Darda’ memulakan bicara.

“Satu kehormatan bagi kami menerima anda berdua sahabat Rasulullah s.a.w. Dan satu kehormatan juga bagi kami bermenantukan seorang sahabat Rasulullah yang utama. Tapi, jawapan untuk pertanyaan ini saya serahkan sepenuhnya kepada puteri kami..”

Kemudian, tunggulah Salman dan Abu darda’ dengan perasaan yang berdebar-debar. Dan keluarlah si ibu dari bilik setelah berbincang dengan puterinya.

“Maafkan kami atas terus terang ini.. Dengan mengharap redha Allah, kami mohon maaf bahawa puteri kami menolak lamaran Salman Al-farisi.. Seandainya Abu Darda memiliki urusan yang sama, puteri kami telah menyediakan jawapan ya..”

Tak disangka bukan? Gadis yang dicintainya lebih tertarik kepada Abu Darda' yang mewakili lamarannya. Bayangkan bagaimana perasaan Salman antara cinta dan nilai persaudaraan berebut tempat didalam hatinya. Tapi manusia yang percaya pada semua aturan Allah, dia akan bahagia. Kerana apa yang Allah aturkan, tentu yang terbaik buat kita. Salman percaya, bahawa dia tidak punya hak apapun ke atas orang yang dicintainya. Itulah sifat manusia bertaqwa.
Boleh baying apa reaksi Salman seterusnya? Sungguh tinggi peribadi beliau. Kata Salman Al-Farisi,

“Semua mahar dan nafkah yang aku siapkan ini, aku serahkan kepada kamu wahai Abu darda’. Dan aku akan menjadi saksi perkahwinan kalian.” Kata Salman Al-Farisi.

Lihat. Betapa indahnya kebesaran hati Salman. Mereka dipersaudarakan oleh Rasulullah. Bukanlah seorang saudara jika tidak turut gembira atas kebahagiaan saudaranya. Dan bukanlah juga dinamakan saudara jika merasa dengki atas kebahagiaan dan nikmat saudaranya. Indah hasil tarbiyyah Rasulullah kepada para sahabatnya.

Benar. Bahagia itu bermacam cara. Tapi setepatnya, bahagia itu ada pada sifat redha.

Wallahu’alam..

0 comments:

Post a Comment