Saturday, September 28, 2013

VITAMIN IMAN

Bismillah.

“Saya tak suka seorang lelaki yang percakapannya dengan nada yang tinggi. Bunyinya kasar..”

Kata seorang teman rapatku sambil ketawa kecil ketika kami sama-sama menjamah juadah tengah hari tadi di kafe.

Aku tersenyum sambil mengiakan. Ya. Sungguh. Tidak ada mana-mana perempuan yang mendambakan seorang lelaki yang kasar peribahasanya. Dan aku rasakan, lelaki juga begitu. Lalu aku katakan,

“Yalah kan.. Cuba lihat pada Ustaz Latif.. Lembut dan tenang sahaja perwatakan dan bahasanya.. Bukan sahaja itu, semua perkara sentiasa dipandangnya dengan cara yang positif..”

Pasti keluarganya juga lembut dan sopan perwatakannya. Teringin sekali untuk melihat isteri ustaz. Pasti sepertinya juga. Kerana kata orang, terdidiknya si isteri adalah daripada suaminya.

Kami mengimbas kembali ceramah Ustaz di dalam program Tanyalah Asatizah pada hari yang lepas. Nama Ustaz Latif tidak asing lagi bagi kami pelajar jurusan Ilmu Wahyu dan Warisan. Memang perwatakannya sungguh menenangkan. Ada qudwah yang diterjemahkan kepada kami untuk dijadikan ikutan.

VITAMIN IMAN.

Jika jasad yang sakit, kita tahu dimana untuk mencari ubatnya. Dalam lemah, kita ke klinik atau hospital berhampiran untuk merawat jasad yang kelesuan. Tapi, andai rohani kita yang sakit? Harus bagaimana? Ketahuilah, antara punca masalah fizikal, rohani, psikologi dan segalanya pastinya berkaitan dengan iman. Kerana apa seseorang itu menghidap penyakit kencing manis? Kerana dia sendiri tidak mampu untuk melawan nafsunya daripada mengambil minuman yang berlebihan gula. Secara logiknya begitulah. Dalam tidak sedar, benarlah.

“Kita menggali kubur sendiri dengan gigi.”

Sempat ustaz kongsikan bersama kami, untuk kuatkan iman yang tandus, kita kena kenal empat ilmu ini.

- Allah.
- Hakikat diri.
-Hakikat dunia.
- Hakikat akhirat.

Kita semua mengerti, bahawa dalam melayari bahtera kehidupan, tidak selamanya Allah kurniakan kebahagiaan yang berpanjangan. Ada masa Allah selitkan duka dan ujian. Sedarlah kita, dunia ini tempatnya ujian. Bukankah Allah berfirman,

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?.”

(Surah Al-Ankabuut : 2).

Tapi, manusia yang punya iman, dia akan mengatakan bahawa semua masalah ada jalan penyelesaiannya. Bila mana dia tahu, yang Allah itu sentiasa bersama dia. Berkali-kali Allah memujuk kita,

“Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”

(Surah Qaaf : 16).

“Dan Kami lebih dekat dengannya daripada kamu.”

(Surah Al-Waqi’ah : 85).

Allah juga ada berfirman di dalam sebuah hadis qudsi,

“Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari.”

(Sahih Muslim).

Kita mengadu kepada manusia, manusia hanya mampu bersimpati. Namun, jika kita mengadu dan ceritakan semuanya kepada Allah yang Esa, pasti akan ditunjukkan jalan keluar. Yakinlah. Allah tidak akan membiarkan hambaNya larut dalam kesedihan.. Setiap sudut yang Allah anugerahkan buat kita, terimalah dengan jiwa yang bahagia. Tapi jangan dilupa, tugas kita adalah usaha..

Ustaz menceritakan suatu peristiwa.

Satu hari beliau memandu kereta dalam keadaan tingkap yang terbuka. Tiba-tiba terbau suatu bau yang kurang enak dek kerana sebuah lori sampah berada dihadapan keretanya. Lalu beliau menaikkan tingkap disisi kanan supaya bau kurang enak yang dihidu tadi tidak dirasakan lagi. Sambil meneruskan pemanduan beliau, dua orang lelaki yang berada di sudut belakang lori sampah berjenaka dan ketawa bahagia sesama mereka. Kata ustaz,

“Masha Allah.. Mereka berkerja biasa.. Menghidu bau yang tidak enak sepanjang seharian.. Namun boleh bahagia dan tertawa.. Sedangkan aku yang punya rumah, kereta, keluarga.. Kenapa tidak mampu seperti mereka..?”

UNTA DAN TUAN.

Hakikat diri, kita ini punya roh dan jasad. Jasad ini umpama unta, dan roh itu ibarat tuan. Sebagai seorang tuan kepada unta, semestinya kita menjaga unta kita sebaik-baiknya bukan? Begitulah sinonimnya bagi roh dan jasad. Kita yang seharusnya mengawal kehendak jasad (unta) supaya tidak tertewas di dalam negeri ujian ini.

Singkat ustaz kongsikan, namun memberi kesan yang mendalam buat hatiku yang kering ini. Lama tidak disimbah dengan kata-kata nasihat yang dapat menyubur iman. Dan hari ini aku punya vitamin, iaitu Vitamin Iman!


Wallahu’alam..

0 comments:

Post a Comment